Remaung6renjer

Nuffnang

Sunday, December 5, 2010

Perikatan UMNO-MCA, Konvensyen Nasional dan Tuntutan Pilihanraya Persekutuan 1955

Kuching
Friday, 3rd Dec 2010

(Google Picture)

This paper outlines the cooperation between UMNO and MCA during the 1955 General Election in Malaya. Article written in Malay, by by Prof Madya Dr Oong Hak Ching from Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi of Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perikatan dan Konvensyen Nasional Sejak Perikatan UMNO-MCA memenangi pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur dalam tahun 1952 pemimpin-pemimpin politik UMNO terutama Tunku Abdul Rahman meneruskan perjuangan untuk mendapat kemajuan poltik yang lebih besar dan mengharapkan kerajaan British mengambil langkah-langkah untuk mengadakan pilihanraya di peringkat Persekutuan bagi membolehkan penglibatan yang lebih masyarakat Tanah Melayu dalam pemilihan wakil mereka ke Majlis Perundangan Persekutuan dan seterusnya mencapai kemerdekaan. 

Keanggotan Majlis Perundangan Persekutuan cuma terbuka kepada wakil-wakil yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang dianggap mewakili pertubuhan-pertubuhan politik, sosial dan perniagaan dan perusahaan, kesatuan sekerja dan lain-lain golongan berkepentingan. Dalam perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Tunku mengharapkan sokongan masyarakat Cina yang diwakili oleh MCA.

Melalui surat-suratnya kepada pemimpin-pemimpin MCA, Tunku Abdul Rahman memperlihatkan kesediaannya memberi konsesi politik yang lebih luas kepada masyarakat Cina (Oong Hak Ching, 2000).
Hasil perbincangan ini mereka bersetuju untuk mengadakan majlis pertemuan tidak formal pada 3 Februari 1953 di pejabat Persatuan Pelombong Cina Selangor (Selangor Chinese Miners’ Association) di Foch Avenue Kuala Lumpur. Lima wakil daripada UMNO terdiri dari Tunku Abdul Rahman, Inche Sardon Jubir, Inche S A Bahaman, Dr. Ismail Rahman dan Syed Nasir bin Ismail. Wakil-wakil MCA pula ialah Dato Sir Cheng-lock Tan (Tan Cheng Lock), Col. H.S.Lee, Mr. Leong Yew Koh, Mr.S.M. Yong dan Mr. Ong Yock Lin. T. H. Tan, Ketua Setiausaha Eksekutif MCA bertindak sebagai Setiausaha majlis mesyuarat tidak formal ini. Para hadirin bersetuju Tan Cheng Lock menjadi pengerusi mesyuarat ini dan Tunku pula akan mempengerusi mesyuarat akan datang dan seterusnya kedua-dua tokoh ini akan bergilir-gilir mempengerusikan mesyuarat UMNO-MCA. Tan Cheng Lock memaklumkan kepada majlis tujuan mesyuarat ini diadakan bagi menentukan agenda bagi persidangan mejabulat UMNO-MCA..

Sebelum membincangkan lebih lanjut agenda mesyuarat tersebut Tan Cheng Lock memberi penjelasan mengenai usaha-usaha MCA untuk membantu mengatasi masalah ekonomi masyarakat Melayu dan mengingatkan hadirin bahawa orang Cina bukan lah punca yang menyebabkan masalah ekonomi masyarakat Melayu. Yang harus dipersalahkan ada lah kerajaan British yang memberikan pendidikan hanya untuk membolehkan orang Melayu menjadi budak pejabat dan kerani. MCA sendiri telah menyediakan peruntukan berjumlah $500,000.00 bagi membantu masyarakat Melayu.
Menurut Tan Cheng Lock : 
‘… it was important… to redress the economic unbalance of the Malays. The Chinese should share their business experiance with the Malays. What harm could this do ? Malaya would be richer if there could be 20 Malay millionaires ; the more rich the Malays the country had, the better for the Malay and for the country. (SSP HSLee , Minit Mesyuarat)
Perlu dijelaskan di sini bahawa isu ini telah banyak diperkatakan dalam mesyuarat Jawatankuasa hubungan Kaum yang diadakan sejak 1949. Pada masa itu UMNO diwakili oleh Dato Onn Jafaar. Tetapi dalam mesyuarat ini UMNO diwakili oleh Tunku dan pemimpin-pemimpin UMNO yang belum pernah berbincang dengan MCA.

Cakap-cakap pemimpin MCA memang memberi kesan kepada Tunku Abdul Rahman yang menyatakan 
‘ …the myth of Chinese economic domination of Malaya had already been exploded. ‘ Tunku juga bersetuju masalah ekonomi orang Melayu berpunca daripada penjajahan British dan menyatakan ‘ For to long the Malays had been content to play the part of ‘ scramblers after the crums’. Today the Malays did not want to play that part any longer…’ Tunku berpendapat … there could never be any true understanding between the Malays and the other races because of the British policy of Divide- and- Rule» ‘ Tunku mengalu-alukan kerjasama UMNO-MCA. Menurut Tunku : ‘With the guidance of God, with the help of Col Lee, MR. S.M Yong, Mr. Ong Yoke Lin and few other , the UMNO-MCA alliance was started. It began first in Kuala Lumpur, and since spread to Johore and Malacca with very good result in the local elections.
…this alliance should be forged ahead wherever there were to be elections’ (SSP HSLee, minit mesyuarat)
Tan Cheng Lock bersetuju bahawa agenda untuk perbincangan dalam persidangan Meja-bulat UMNO-MCA ada lah mengenai kemerdekaan. Tetapi sebelum perkara ini dibincangkan UMNO-MCA perlu « … that the Malays and Chinese who together formed 90 percent of the population, must get together and stand on a common platform of understanding and co-operation. » H.S. Lee menambah bahawa ‘ …. That UMNO and MCA should be practical and think out ways and means to achieve the goal of selfgovernment’.

Mesyuarat tidak formal ini membuat tiga ketetapan : 
Jawatankuasa Perhubungan UMNO-MCA ditubuhkan di seleruh negeri ;Tahun 1954 sebagai tarikh pelaksaan prinsip-prinsip menentu kelayakan menjadi pengundi Pilihanraya Persekutuan ; dan pembentukan jawatankuasa kecil untuk merangka deraf peratoran pilihanraya Persekutuan. Jawatankuasa ini terdiri dari Dr Ismail, Sardon Jubir, S.M Yong dan H.S.Lee. 

Sebagai langkah susulan mesyuarat tidak formal yang kedua diadakan pada 21 Februari 1953 di Singapura. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tunku Abdullah Rahman. UMNO diwakili oleh Inche Sardon Jubir, Syed Nasir, Dr Ismail Rahman bin Mohd. Hashim. MCA pula diwakili oleh Tan Cheng Lock, H. S.Lee, Ong Yoke Lin dan T.H.Tan. 

Tunku memaklum kepada mesyuarat bahawa ketetapan yang dibuat oleh mesyuarat bersama UMNO-MCA tidak mengikut UMNO mahupun MCA. Keputusan mesyuarat Cuma dijadikan sebagai cadangan yang akan dikemukakan kepada pertubuhan masing-masing dan bergantung kepada jawatankuasa eksekutif UMNO atau MCA hendak menerima atau tidak. 

Dalam mesyuarat ini lah buat kali pertama Tunku mengemukakan cadangan supaya dianjorkan kongres kebangsaan yang kemudian dikenali sebagai konvesyen nasional. Menurut Tunku 
“…in view of the interest envinced in the deliberations of the Joint Committee and as a counter to suspicion and sabotage through the propaganda of thoses who did not want to see the Chinese and Malays uniting, UMNO and MCA should sponsor a sort of national congress to which other bodies, like IMP , Labour, etc., should be invited to participate in the discussions.
Menurut co 1022/151, “The original idea of holding some form of national conference or congress probably derived from the resolutions of the Asian Socialist Conference in Rangoon dan ida ini dibawa pula oleh Mohamed Sopiee.

Cadangan Tunku hanya mendapat sokongan daripada Sardon Jubir. Tan Cheng  Lock dan H.S Lee tidak bersetuju dengan cadangan ini buat sementara waktu. Menurut Tan Cheng Lock
 “…such a congress should have a very limited agenda’ dan ia meningatkan mengenai “…the danger of convening such a congress without the Chinese and the Malays first agreeing absolutely on each principle to be put before the congress, otherwise there would be a serious split and the British would make capital of it by citing it as another example that the people of this country could not agree with one another.”
 H. S. Lee bersetuju dengan pandangan Tan Cheng Lock dan menyatakan “…such congress would be the eventual result of the deliberations of the Joint Committee dan dengan tegas menyatakan “ We cannot have it now” Manakala Ong Yong Lin pula menyatakan orang India yang mempunyai kesedaran politik yang kuat mungkin akan menimbulkan kekacaauan dalam congress berkenaan dan juga kongres tersebut akan menimbulkan “ serious differences of opinion and dissension. Dr Ismail pula menyatakan kebimbangan mengnai “ what would be the position of the Joint Committee once such a Congress was convened.” Mesyuarat akhir memutuskan bahawa cadangan mengadakan kongres ditunda hingga UMNO dan MCA dapat mencapai kata sepakat mengenai prinsip-prinsip asas yang melibatkan kepentingan kaum masing-masing terutama dalam soal kelayakan menjadi pengundi.

Mesyuarat tidak formal UMNO-MCA yang ketiga diadakan pada 8 Mac 1953 di Johor Baharu. Mesyuarat ini dipengerusi oleh Tan Cheng Lock dengan dihadiri oleh wakil-wakil UMNO kecuali Syed Nasir dan S. A. Bahaman dan wakil-wakil MCA termasuk Leong Yew Koh.

H.S.Lee melaporkan bahawa deraf cadangan mengenai Peratoran-peratoran Pilihanraya Persekutuan masih belum dapat disiapkan dan berjanji akan disiapkan sebelum ia ke England pada 18 Mac. Tunku menekankan peri mustahak deraf berkenaan disiapkan kerana ia akan mengemukakan kepada Perhimpunan Agong UMNO yang akan berlangsung pada awal April.

Tunku Abdul Rahman membangkitkan kembali mengenai isu mengandakan kongres kebangsaan. Tunku menyebutkan bahawa akbar membuat komen berhubung dengan pertemuan tidak formal UMNO-MCA dan ia dituduh menjual hak-hak orang Melayu kepada orang Cina. Tunku berpendapat kongres harus diadakan secepat mungkin bagi membersihkan namanya. Tunku memaklumkan bahawa Inche Mohamed Sopiee yang menjadi Pengerusi Parti Buruh Se Malaya (Pan-Malayan Labour Party ) dan juga pegawai perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Seberang Perai bermint untuk menganjurkan kongres.
Cadangan Tunku telah ditolak oleh mesyuarat. H. S.Lee sekali lagi tidak bersetuju dengan menyatakan:
“…surely a Congress would of no use until the UMNO General Assembly and the M.C.A. Working Committee had first approved the Federal Election proposals.” 
Dr Ismail pula mencadangkan agar mereka cuba mendapatkan sokongan akbar bagi menggelakkan komen-komen buruk ditimbulkan mengenai perbincangan tidak formal UMNO-MCA dan juga mereka sendiri menerbitkan akhbar. 

Tan Cheng Lock menyokong pandang Dr Ismail dan mencadangkan T. H. Tan yang juga merupakan bekas wartawan Singapore Standard dapat memberi nasihat kepada akhbar berkenaan. Tan Cheng Lock sendiri akan berbincang dengan Aw Boon Haw pemilik akhbar berkenaan.
Harapan Tunku sebagai mewakili golongan moderate untuk menganjorkan kongres kebangsaan yang pertama yang menggabungkan Melayu dan bukan Melayu telah hancur kerana beberapa penyokong kuat Dato Onn dan pemimpin-pemimpin IMP dan Menteri-menteri Besar telah pun membuat persiapan bagi menganjurkan kongres kebangsaan.

Dato Panglima Gantang bersama-sama dengan Menteri Besar Kelantan , Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Terangganu dan Selangor dan beberapa pemimpin lain telah mengumumkan mereka akan menganjorkan satu persidangan di Kuala Lumpur pada 27 April 1953 dengan tujuan menghimpunkan
"all those leaders who strive sincerely for a united, free and independence Malayan nation …to consider how they can best in co-operation forward their splend ideal." 
Presiden UMNO menerima pelawaan daripada Dato Panglima Bukit Gantang untuk menghantar dua orang wakil menyertai persidangan ini.(SSPSHLee, Minit Msyuarat tidak formal UMNO-MCA, 2 April 1953).

Dalam mesyuarat tidak formal yang kelima yang diadakan pada 2 April di Melaka pemimpin-pemimpin UMNO-MCA telah membincang dengan panjang lebar mengenai Nasional Konferens dan pelawan yang mereka terima untuk turut serta dalam persidangan berkenaan. Surat pelawaan kepada Presiden UMNO itu menyatakan
“ My colleague and I extend a cordial invitation to the United Malays National Organisation and very much hope that your organization will be able to accept this invitation to participate in the conference and nominate two representative to attend.” Seterusnya surat itu menyatakan : “We hope and believe that the conference will be widely representative of Malayan leaders of all races, and that it will make a valuable contribution to inter-communal harmony and national unity.”
Persidangan Kebangsaan bertujuan untk “…consider all matters discussed at the conference and make  recommendations at this conference at its meeting as to the steps that should be taken to build a united self-governing Malaya nation.”

Tan Cheng Lock berpendapat bahawa tujuan asas persidangan itu ada lah “ to form a Working Committee dominated by the Mentris Besar.” Daripada maklumat yang diterima oleh Lau Pak Khuan Menteri Besar Perak bercadang untuk membentuk Persatuan Kebangsaan Perak dan sesiapa yang enggan menjadi ahli akan dianggap menderhaka kepada Perak. Tunku tidak menolak kemungkinan menerima jemputan berkenaan dengan syarat mereka diberikan perwakilan yang mencukupi sesuai kedudukan mereka sebagai pertubuhan terbesar.

Tan Cheng Lock juga bersetuju supaya UMNO dan MCA menyertai persidangan berkenaan untuk menunjukkan yang “we are reasonable.” Tetapi Leong Yew membantah dengan menyatakan “ UMNO and MCA should not allow their action to be influence by the sponsors of the National Conference.” Dato Razak juga tidak bersetuju , bahkan menyatakan “…the Mentris Besar should not be in the conference at all.” Setelah berbincang begitu panjang lebar Tunku membuat andaian bahawa “The National Conference was intended to forestall the National Congress.” Mereka bersetuju jawapan yang akan dihantar kepada Dato’
Paglima Gantang antara lain menyatakan UMNO dan MCA bersimpati dengan dengan matlamat asas pihak penganjor dan UMNO-MCA akan “redouble the efforts of the Malay and Chinese communities in Malaya…to create in this country a society where people enjoy peace and freedom, prosperity and happiness.” (SSP HSLee, Minit mesyuarat)

Mesyuarat ini menyatakan cadangan Nasional Konferens dan Jawatankuasa yang akan dibentuk akan didominasi oleh pegawai tinggi pentadbiran kerajaan dan individuindividu yang tidak mewakili mana kelompok penduduk .UMNO-MCA berpendapat “ the desire for a united Malayan Nation and self-government for Malaya must spring from the people.” UMNO dan MCA berpendapat persidangan ini tidak membayangkan kehendak yang sebenar penduduk-penduduk di wilayah ini dan tidak mempunyai kewibawaan yang mencukupi berasas prinsip-prinsip demokrasi untuk meletakka asasasas bagi pembinaan “ a united self-governing Malayan nation.” (SSP HSLee, Minit mesyuarat).

Berikutan dengan peristewa di atas telah mengadakan perbincangan tidak formal wakil-wakil persidangan meja-bulat Perikatan di Singapura pada 30 Mei 1953. UMNO diwakili oleh Tunku Abdul Rahman dan Dr Ismail Rahman. MCA pula diwakili oleh Tan Cheng Lock dan Leong Yew Koh. Parti Buru Se Malaya turut menghantar wakil ia itu Mohamed sopiee. T. H. Tan turut hadir sebagai Setiausaha mesyuarat. Tunku Abdul
Rahman menekankan peripenting cadangan Kongres Kebangsaan dengan menumpukan perhatian kepada satu atau dua perkara ia itu pilihanraya peringkat Persekutuan dan cadangan reform Majlisi Perundangan Persekutuan dan Majlis Eksekutif. Tetapi Mohamed Sopiee menekankan bahawa persidangan itu perlu menjaga kepentingan orang ramai. Menurutnya “Some programme for the benefit of the people should be mapped out for placing before the Congress. Mesyuarat ini membincangkan komposisi kongres dan pertubuhan-pertubuhan yang akan dijemput yang antara lain termasuk UMNO, MCA, PMU, pertubuhan-pertubuhan India saperti MIC, FIO, MIA, dan MBIA, Persatuan Orang Serani, Persekutuan Ceylon Tanah Melayu, SCBA dan juga IMP.

Objektif awal Kongress ini untuk membentuk National Congress Party of Malaya dan membolehkan pilihanraya umum diadakan pada tahun 1954 dan disusuli dengan reform Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Eksekutif.

Persidangan meja-bulat ini mencadangkan 15 orang pemimpin dipilih untuk menganjur kongres kebangsaan. Mereka terdiri dari Tunku Abdul Rahman, Dr Ismail Rahman, Inche Sardon Jubir, A. Bahaman, dan Dr Suleiman Rahman dari UMNO; Dato Sir Cheng-lock Tan, Leong Yew Koh, Col. H.S.Lee, Ong Yoke Lin dan S.M. Yong dari MCA dan Mohamed Sopiee, Wong Pak Choy, M. Arokiasamy, Mohamed Khir Johari
dan Lee Moke Seng dari PMLP (Buruh).Persidangan ini juga telah melantik Pro-tem Sekretariat yang terdiri dari T. H. Tan, Inche Asnall bin Hadi dan Yap Choong Koon.

Persidangan meja-bulat Perikatan juga telah merangka sebuah manifesto yang akan dikemukakan dalam Kongres Kebangsaan Malaya yang kemudian dikenali sebagai Nasional Konvensyen yang akan dijangka diadakan pada 1 Julai 1953. Yang menariknya manifesto ini membayangkan hasrat UMNO, MCA dan PLMP untuk menubuhkan sebuah parti tidak perkauman yang namanya dicadangkan People Congress Party atau National Congress Party of Malaya. Manifesto ini antara lain menyebutkan bahawa
“We people of Malaya, as represented by our political organizations, determined to establish in strength and unity INDEPENDENT STATE in which the sovereignty of the sultans as constitutional Rulers of their respective territories be maintained, to establish social order on the basis of the eternal principles of JUSTICE, LIBERTY and UNITY…
Perikatan juga menekankan prinsip “Equality of citizenship rights, privileges and duties.” (SSP HSLee, Minit mesyuarat) Perikatan juga bersetuju taboran calon untuk pilihanraya dengan berkadar Melayu:8, Cina:6, Buruh:4, India:2 dan lain-lain:1. Berasaskan kadar ini UMNO kelihatan begitu generous terhadap masyarakat bukan Melayu. Tetapi kadar ini dikaji semula berikutan Parti Buruh menarik diri dan calon Melayu daripada UMNO dalam Pilihanraya Persekutuan 1955 juga lebih banyak daripada yang dijangkakan.

Manifesto ini juga menyatakan Bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi bersam-sama bahasa Inggeris dan perkembangan kebudayaan berbangai bangsa akan digalakkan. Tiada halangan dari pemakaian bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan yang akan ditubuhkan. Di sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, bahasa Inggeris perlu diajar sebagai mata pelajaran wajib. Di Sekolah berbahasa pengantar Cina atau Tamil, bahasa Melayu dan Inggeris menjadi mata pelajaran wajib.

Pada 19 Jun 1953 satu mesyuarat wakil-wakil UMNO, MCA dan PMLP telah diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur untuk meneruskan perbincangan mengenai rancangan mengadakan Kongres Kebangsaan. Wakil-wakil UMNO terdiri dari Tunku Abdul Rahman, Dr Ismail Rahman, Sardon Jubir dan Suleiman. Wakil-wakil MCA terdiri dari Tan Cheng Lock, Leong Yew Koh, Leung Cheung Ling yang mengantikan
H.S.Lee dan Ong Yoke Lin. Wakil-waakil PMLP pula terdiri Mohamed Sopiee, Wong Pak Choy, A.Arokiasamy, John Emanuel dan K.C.Chia. Turut hadir T,H. Tan, Hasnul bin Abd. Hadi , Lee Moke Seng dan . Syed Jaafar Albar juga turut hadir. 

Mesyuarat ini  dipengerusikan oleh Tunku. Sardon melaporkan bahawa Perhimpunan Agung telah memberi kelulusan kepada cadangan menganjurkan kongres. PLMP juga tidak ada masalah untuk turut menganjurkan kongres ini. Tetapi Jawatankuasa Kerja MCA masih dalam peringkat mempertimbangkan buruk baiknya kepada orang ramai dengan mengadakan kongres ini.
Sebelum perbincangan lanjut Tunku mencadangkan kongres nanti menerima empat perkara:
(1) That in order to serve its purposes, this country must have independence and intends to get it by peaceful and constitutional means;
(2) That we shall maintain all that is good in, and for the country; 
(3) That general elections be held in 1954 as a first step towards independence;
(4) After the general elections, the nxt step will be to plan what we should do when we get power. Whaever plans proposed should be for the benefit of all the people of the country and not a section of them. (SSP HSLee, Minit mesyuarat)
Tunku dengan tegas menyatakan “…the greatest menace would be class war and this should be avoided at all costs.” (SSP HSLee, Minit mesyuarat)

Dr Ismail pula membangkitkan kenyatan Parti Buruh yang boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan kedudukan kongres kelak. Kenyataan itu menyebutkan kemungkinan kerajaan British tidak semata-mata mengiktiraf kongres sebagai wakil tunggal pertubuhan kebangsaan. British mungkin memberi pengiktiran juga kepada Persidangan Kebangsaan yang ditaja oleh Menteri-menteri sebagai wakil pertubuhan kebangsaan. Kerajaan British akan berunding dengan kongres dan juga persidangan dalam isu yang berkaitan dengan kemedekaan. Untuk kepentingan orang ramai pihak kongres harus cuba menggelakan dari mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kontrovesi atan memutuskan hubungan sehingga berpatah arang dengan Persidangan Kebangsaan. Pada pandangan Parti Buruh pihak Persidangan Kebangsaan mungkin juga dapat memberi sokongan sejauh mungkin dalam soal kerjasama di antara kedua-dua pihak. Dr Ismail menyatakan Parti Buruh harus membuat pilihan untuk menyertai Persidangan kebangsaan atau Kongres Kebangsaan. Tan Cheng Lock meminta mesyuarat menumpukan perhatian kepada “ the main points of its business” ia itu pilihanraya umum dan kemerdekaan. 

Mohamed Sopiee, Suleiman Rahman dan S.M.Yong diminta merangka deraf ketetapan mesyuarat yang mengandungi kenyataan bahawa:
There shall forthwith be formed a National Congress of Malaya comprising democratic Malayan Political Organisation for the attainment by peaceful and constitutional means, of a sovereign and independence State of Malaya within the Commonwealth to:
(a) establish, protect and uphold the principles of full responsible representative Government of the people, for the people, by the people:
(b) safeguarde the position of the Rulers of the Malay States as constitutional heads:
(c) adopt, enforce and uphold the fundamental principles of Human rights laid down by the United Nations Organisation:
(d) establish, protect and uphold of worship, thought and expression, and of Association:
(e) consider and reconcile the conflicting claims of the various communities and groups and to protect the rights of the minorities. (SSP HSLee, Minit mesyuarat)
Ketetapan ini juga menyebutkan bahawa pilihanraya Persekutuan harus diadakan pada 1954 sebagai langkah pertama kearah pencapaian kemerdekaan dan kedaulatan Malaya. Perikatan UMNO-MCA menghadapi banyak masalah untuk menganjorkan Kongress kebangsaan termasuk perselisihan faham di antara MCA dengan pemimpin-pemimpin Parti Buruh yang menyebabkan parti ini menarik diri daripada menjadi
penganjur. Mesyuarat Perikatan UMNO-MCA yang di adakan di Johor Baru pada 10 Julai 1953 tidak disertai oleh wakil-wakil Parti Buruh. MCA Cuma menghantar dua wakil: Tan Cheng Lock dan Ong Yoke Lin. T. H.Tan turut hadir sebagai pemerhati.

UMNO pula menghantar enam orang wakil termasuk muka baru Mohd Yasin Abdul Rahman. Mesyuarat ini dipengerusi oleh Tan Cheng Lock. Mesyuarat dimaklumkan bahawa Mohamed Sopiee telah memberi ucapan dalam mesyuarat Pemuda UMNO di Pulau Pinang yang dianggap cuba menimbulkan perselesihan faham di antara MCA dengan UMNO. Ucapan ini dilaporkan dalam akhbar Melayu Raya pada 28 Jun 1953 yang antara lain menyatakan jika mereka dipaksa memilih di antara dua kuasa: Imperialis British atau kapitalis, maka lebih baik mereka mengikut kerajaan British. Tetapi jika tiada pilihan ada lah menjadi tanggung jawab
mereka untuk menypokong rakyat bagi memperoleh kemerdekaan. Menurut Mohamed Sopiee PMLP menyokong perjuangan UMNO tetapi tidak boleh berkerjasama dengan MCA yang keiklasan boleh diragukan. Mohamed Sopiee mengemukakan pertanyaan kepada hadirin “Do you think the MCA wants independence?” (SSP HSLee, Minit mesyuarat)

Tindakan Mohamed sopiee ini dilakukan kerana MCA tidak menampakan kesungguhan bagi mendapat mandat dari anggota-anggotanya untuk menganjurkan Kongres Kebangsaan. Berikutan dengan kekecohan yang ditimbulkan ini PMLP mengambil keputusan menarik diri daripada menjadi anggota penganjur Kongres
Kebangsaan. Lee Moke Sang, Setiausaha Agung PMLP dalam suratnya kepada Tunku Abdul Rahman memaklumkan hal ini tetapi menyokong usaha pembentukan Malayan Peoples Congress untuk memperjuangkan kemerdekaan dan mereka akan turut hadir jika dijemput. Tindakan Mohamed Sopiee akhirnya memberi kesan positif. 

MCA kemudiannya tidak lagi berbelah bahagi menyokong Kongres Kebangsaan. Mesyuarat Perikatan UMNO-MCA ini mengambil keputusan untuk menunda tarikh mengadakan Kongres Kebangsaan kepada 15 dan 16 Ogos 1953 dengan alasan MCA sedang menjalankan pungutan suara dari ahli-ahlinya mengenai kongres ini. Tarikh ini ditunda lagi memandangkan Perikatan UMNO-MCA masih tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah teknikal seperti bilangan pertubuhan dan perwakilan yang akan dijemput dan juga menunggu respons daripada pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Pada 17 Ogos 1953 Perikatan mengadakan mesyuarat di Kelab Pelombong-pelombong Cina Selangor, Kuala Lumpur untuk membincangkan persiapan terakhir.

UMNO diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Dato Razak, Dr Ismail bin a. rahman dan Aziz bin Ishak. MCA pula diwakili oleh Col. H. S. Lee, Ong Yoke Lin dan Leung Cheung Ling. T.H. Tan juga turut hadir.

Tunku melaporkan kepada mesyuarat bahawa pertubuhan-pertubuhan politik Melayu telah menganjurkan Persidangan Politik Melayu (Malay Political Conference) di Johor baharu. Pertubuhan politik Melayu turut hadir melainkan Persatuan Kebangsaan Perak. Menurut Tunku “ It was a very successful meeting.” Tunku menjelaskan bahawa Persidangan Politik Melayu berkenaan bertujuan untuk membincangkan “…the basis
representation at the National Convention.” Beberapa wakil menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan saiz perwakilan dari Masyarakat Melayu yang dianggap kecil berbanding dengan bilangan penduduk Melayu. Dr. Ismail meminta penjelasan mengapa ada pertubuhan-pertubuhan Melayu yang besar tidak dijemput. Ia juga memberi cadangan jika kemerdekaan tidak boleh diperolehi dengan cara pilihanraya, mereka boleh mendapatkannya dengan mengadakan rundingan dengan kerajaan British. Tunku tidak bersetuju dan berpendapat mereka terpaksa menunggu sampai hari Kiamat untuk mendapat kemerdekaan menerusi rundingan dengan kerajaan British.(SSP HSLee, Minit mesyuarat)

Col. H.S. Lee pula memberi laporan mengenai jemputan ke Konvesyen Nasional jawapan yang diterima daripada beberapa pertubuhan. PMLP tidak dapat membuat keputusan muktamad sehingga 21 Ogos. Kongres India Malaya (Malayan Indian Congress), Malayan-Born Indian Association , Malayan Indian Association dan Eurasian Union of Malaya menyatakan mereka tidak akan menyertai Nasional Konvesyen. Cuma Persatuan Melayu Semenanjung (Peninsula-Malays Union) pimpinan Hashim Ghani memberi jawapan yang positif. 

PMU akan menghantar Che Hashim Ghani dan Che Darus Ahmad sebagai perwakilan dan lima pemerhati terdiri dari Talib Ahmad, Abdul Majid bin Shaik Daud, Hashim Hamzah, Arshad Noordin, dan Ariffin Hussin.
Memandangkan sambutan dingin daripada pertubuhan-pertubuhan politik mesyuarat ini memutuskan Nasional Konvensyen dibuka kepada orang ramai.

Mesyuarat ini memutuskan Tunku Abdul Rahman akan dilantik sebagai Pengerusi Konvensyen ini. Tan Cheng Lock akan membuat cadangan dan Dato Razak akan memberi sokongan. Tan Cheng Lock akan menjadi Naib Pengerusi. T.H. Tan menjadi Setiausaha, Dato Razak sebagai ketua perwakilan UMNO dan Aziz Ishak
sebagai Penolong Setiausaha. Perikatan UMNO-MCA juga menyiapkan kertas cadangan mengenai “ Executive Council Constitution and Election Proposals” untuk dibentangkan dalam Nasional Konvensyen. Akhirnya Kongress Kebangsaan yang ditukar namanya kepada Konvesyen Nasional diadakan pada 23 Ogos 1953, kemudian pada 11 Oktober 1953 dan 14 Februari 1954. Perikatan UMNO-MCA menjemput 15 pertubuhan tetapi yang hadir cuma empat buah tidak termasuk Perikatan. Pertubuhan itu ialah PAS (Pan-
Malayan Islamic Party), PMU (Peninsular Malays Union ), KMU (the Kelantan Malay Union ) dan Parti Buruh Tanah Melayu (the Pan-Malayan Labour Party). 

Konvensyen Nasional mengeluarkan manifestonya yang antara lain menyatakan : "We the people of Malaya, as reprensented by our political organisations, determined to establish strenght and unity independent state ( in which the sovereignty of the sultans as constitutional Rulers of their respective territories shall be maintain) , social order on the basis of eternal principles of justice, liberty and unity…" (SSP HSLee, Minit mesyuarat).
Konvensyen ini juga meminta supaya Pilihanraya Persekutuan diadakan pada atau sebelum bulan November 1954. Nasional Konvensyen juga telah menerima ketetapanketetapan lain yang dibuat oleh Perikatan UMNO-MCA. 

Nasional Konvensyen telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk “ …consider and recommend Constitutional Reforms in the Federation of Malaya” .Jawatankuasa ini mengandungi 10 ahli yang antaraa lain termasuk Tunku Abdul Rahman, Dr Ismail, H, S. .Lee , S.M. Yong, Ong Yoke, Mohd Daud bin Haji Salleh
(PMMK), Ahmad bin Abd. Rahim (PMU, Johor Baharu) dan lain-lain. Jawatankuasa ini telah membuat laporan yang akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Antara lain jawatankuasa ini berpendapat “…the time has arrived for elections to the Federal Legislature…as indicated by the fact that there is popular demad for such elections.” Pertubuhan-pertubuhan seperti PMLP, MIC, dan Parti Kebangsaan Perak juga menuntut supaya pilihanraya diadakan pada 1954. (SSP HSLee, Minit
mesyuarat)
Laporan ini mencadangankan supaya “franchise be liberalized at least for the first Federal elections.”  Kelayakan menjadi pengundi sebagaimana yang dicadangkan oleh jawatankuasa ini berasas prinsip-prinsip berikut:
(a) Subjects of the Rulers of the Malay States
(b) Federal Citizens;
(c) Any person born in any part of the Federation of Malaya and ordinarily resident in the Federation of Malaya for the last five years immediately preceding the elections;
(d) British subject born in Singapore and ordinarily resident in the Federation of Malaya for the last seven years immediately preceding the elections. (SSP HSLee, Minit mesyuarat)
Kerajaan British telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji penyusunan semula Majlis Perundangan Persekutuan sebagai respon kepada desakan Perikatan dan pertubuhan-pertubuhan politik yang diwakili oleh Persidangan Kebangsaan dan Konvensyen Nasional. Jawatankuasa ini mengandungi 46 ahli yang kebanyakan mereka daripada pengikut Dato Onn dan wakil-wakil dalam Persidangan Kebangsaan
(National Conference ). Perikatan UMNO-MCA cuma diberi peluang menghantar tujuh wakil sahaja. Satu angka yang terlalu kecil bagi dua pertubuhan politik yang kuat dan besar ini.

Pada Januari 1954, Jawatankuasa Pilihanraya menghasilkan laporan yang menunjukkan mereka tidak dapat mencapai kata sepakat. Laporan Majoriti mencadangkan bahawa 48 dilantik dan 44 dipilih. Ini bermakna mereka mahu melambatkan proses membawa Tanah Melayu  kearah berkerajaan sendiri. Laporan Minoriti yang disokong oleh Perikatan mencadangkan 60 dipilih dan 40 dilantik.Perikatan mengemukakan cadangan majoriti ahli dipilih kerana mereka diduga akan memenangi Pilihan raya yang akan diadakan kelak.

Laporan Jawatankuasa Pilihanraya telah dikemukakan kepada Pesuruhjaya Tinggi dan Persidangan Raja-raja. Sebuah Kertas Putih (White Paper) telah diterbitkan mengandungi satu tolak ansur: Dewan Perundangan Persekutuan yang disusun semula akan mengandongi 98 ahli dengan 46 dilantik dan 52 dipilih. Perikatan tidak puashati dan menuntut supaya sekurang-kuranya 3/5 ahli Dewan Perundangan baru dipilih.Perikatan
mengambil keputusan menghantar delegasi ke London untuk membincangkan isu berkenaan dengan Setiausaha Negara Bagi Tanahjajahan. Wakil-wakil Perikataan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Dato Razak dan T.H. Tan.

Melalui pertolongan Lord Ogmore, wakil-wakil Perikatan telah dapat menemui Setiausaha Bagi Negara. Perikatan mengatakan mereka tidak dapat menerima cadangan Kertas Putih kerana pihak yang menang dalam Pilihanraya tidak berupaya membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan mereka boleh dipermain-mainkan oleh ahli-ahli yang dilantik.

Selain daripada kos mengadakan pilihanraya terlalu besar dan membebankan parti-parti yang bertanding. Rombongan Perikatan gagal mendapat sokong Setiausaha Negara Bagi tanah jajahan. Sekembali mereka ke Tanah Melayu mereka meneruskan tuntutan berkenaan. Templer bersetuju dengan beberapa cadangan Perikatan dan membayangkan kemungkinan beberapa ahli-ahli khas yang akan dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi diambil daripada mereka yang dicadangkan oleh pihak yang menang.
Pada 13 Jun 1954 Perikatan UMNO-MCA mengambil keputusan memboikot kerajaan dengan menarik ahli-ahli mereka yaang dilantk dalam badaan-badan kerajaan. Antara mereka yang meletak jawatan termasuklah H.S. Lee (Pengangkutan), Ismail (Sumber Alam) dan Tunku sendiri.

British berpendapat tindakan Perikatan tidak akan berkesan kerana kebanyakan ahli-ahli yang dilantik dalam Dewan Perundangan dan badan-badan kerajaan terdiri daripada penyokong Dato Onn dan Parti Negara yang mengantikan IMP.
Pada 24 Jun 1954, the Federation of Malaya Agreement (Amendment) Bill telah dibentangkan di Dewan Perundangan oleh Dato Onn selaku Ahli Ehwal dalam Negeri. 59 ahli-ahli Dewan yang hadir telah meluluskan Rang Undang-undang ini dengan sebulat suara. 16 ahli Perikatan UMNO-MCA memulaukan persidangan ini kerana mereka menyedari dengan kedudukan sebagai golongan minoriti yang begitu kecil mereka tidak
mempengarohi keputusan Dewan. Pindaan perlembagaan dilakukan mengikut cadangan Kertas Putih dan Pilihanraya akan diadakan pada Julai 1955.

Selepas kegagalannya Perikatan telah mengubah strategi perjuangan dengan cuba mendapat sokongan daripada Sultan-sultan. Pada 2 Julai 1954, mereka mengadakan perarakan yang dihadiri oleh seramai 2000 orang ke Johor Baharu untuk mengadap dan mengemukakan petisi yang antara lain meminta supaya dilantik sebuah jawatankuasa bagi mengkaji dan mengemukakan cadangan reformasi perlembagaan unuk Tanah
Melayu.

Strategi Perikatan berjaya memikat hati Sultan Johor yang kemudian mengadakan mesyuarat dengan sultan-sultan pada 22 dan 23 Ogos 1954. Persidangan Raja-raja Melayu yang diadakan 21 Oktober 1954 telah bersetuju dengan cadangan UMNO mengenai keperluan menyemak semula perlembagaan Tanah Melayu dan dicadangkan sebuah Jawatankuasa dilantik dengan ahli-ahli yang kebanyakannya bersimpati dengan
UMNO termasuk Dato Abdul Razak, Naib yang Di pertua UMNO.

Pesuruhjaya Tinggi juga bertolak ansor dengan Perikatan dengan memberi jaminan bahawa ia akan berunding dengan parti yang menang bagi menentukan lima daripada tujuh ahli khas ( seven reserved Nominated Members seats) dalam Dewan Perundangan. Ini bermakna parti yang menangi Pilihanraya Persekutuan nanti
mempunyai kesempatan menentukan penyokong mereka akan dilantik bagi lima kerusi khas berkenaan. Jaminan Pesuruhjaya Tinggi British ini telah diterima oleh Perikatan dan mereka telah menamatkan pemulauan atau boikot. Kejayaan ini menyebabkan Perikataan dianggap sebagai juara dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan kedudukan politik Dato Onn semakin pudar.

Jalan ke arah kemerdekaaan masih belum jelas. Pada Mac 1955 Sir Anthony Eden, Setiausaha Luar (the Foreign Secretary), menyatakan Darurat menjadi halangan bagi Biritain untuk membawa Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri. Ini bermakna Perikatan harus berusaha menamatkan darurat walau pun dengan jalan berunding dan mendapat kerjasama dengan PKM.

Dalam Pilihanraya yang diadakan pada 27 Julai 1955, Perikatan meletakan 52 calon dengan 35 calon UMNO, 15 MCA dan 2 MIC. Pembahagian kerusi ini dibuat tidak berdasarkan bilangan pengundi mengikut kaum. Peratusan pengundi yang berdaftar dalam tahun 1955 dianggarkan 84 peratus Melayu, 11 peratus Cina dan 5 peratus India.

Cuma dua kawasan Pilihanraya yang mempunyai pengundi majoriti bukan Melayu. Ini bermakna Perikatan meletakkan 17 colan bukan Melayu bertanding di kawasan Melayu. Manifesto Pilihanraya Perikatan inginkan kemerdekaan dalam masa empat tahun, meneruskan dasar pendidikan yang akan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, memalayanisasi perkhidmatan awam, dan menawarkan pengampunan (general amnesty) kepada PKM bagi menamatkan Darurat.

Perikatan UMNO-MCA-MIC mendapat kemenangan besar dengan menawan 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan mendapat lebih daripada 81 undi popular. Parti Negara di bawah pimpinan Dato Onn tidak memenangi seberang kerusi. Walaupun Dato Onn meniupkan sentimen nasionalisme Melayu yang kuat dalam pilihanraya ini pengundi lebih tertarik dengan isu kemerdekaan. Pilihanraya ini menyaksi kemunculan Parti Islam Se Malaya (PAS) yang telah memenangi sebuah kerusi.

Berikutan dengan Pilihanraya ini "sistem ahli" telah di tukar kepada sistem kabinet. Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin Perikatan telah dilantik sebagai Ketua Menteri atau ketua kerajaan. Pesuruhjaya Tinggi British masih kekal sebagai ketua persekutuan dan mengekalkan kuasa mengesahkan undang-undang. Pemimpim-pemimpim Perikatan merasakan bahawa penganas Komunis harus diberi pengampunan bagi menggalakkan mereka menyerah diri dan menghentikan pemberontakan bersenjata. 

Komunis juga telah mengubah strategi perjuangan dengan melancarkan ofensif damai atau jalan perundingan. Pada Jun pemimpin-pemimpin Perikataan menerima surat bertarikh 1 Mei daripada PKM yang menyatakan bahawa tujuan perjuangan Tentera Pembebasan Bangsa Malaya (MRLA) untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Malaya yang berperintahan demokrasi dan aman. 

PKM memberi bayangan bahwa mereka bersedia untuk menemui pihak kerajaan dan berunding bagi mewujudkan keamanan. Sebagai respons Tunku Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Perikatan yang
lain mula menyokong idea untuk berunding dengan PKM. Keadaan ini menimbulkan kecemasan bagi pegawai-pegawai British daan Komanwel. Pesuruhjaya Tinggi memang sedar bahawa Perikatan dan PKM mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk mengusir British dan mendapat kemerdekaan.

Ia berpendapat jika isu kemerdekaan dibincangkan "the Chief Minister may emerge from the meeting feeling that he has a closer identity of view (Oong,2000a:216)" PKM dan akan meningkatkan status Chin Peng. Status pegawai British pul akan merosot. Dengan demikian British mengambil keputusan untuk memberi kemerdekan pada 31 Ogos 1957 dengan menganggap isu Darurat bukan lagi menjadi halangan. Tunku pergi menemui Chin Peng dengan kemerdekaan sudah berada dalam tangan. Selepas Pertemuan Baling, Tunku mengetuai satu delegasi yang mengandungi empat wakil Perikatan dan empat wakil Sultan-sultan ke London untuk merundingkan kemerdekaan tanah Melayu. Mereka tiba dalam Januari 1956 dan berunding selama tiga minggu. British saperti yang dijangkakan akan memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kerajaan British telah melantik sebuah Suruhanjaya Komanwel (Commonwealth Commission) yang dikenali sebagai Reid Commision untuk membuat cadangan bagi perlembagaan masa hadapan Tanah Melayu. Commission ini mengandungi ahli-ahli termasuk Lord Reid sebagai Pengerusi, Sir Ivor Jennings ( united Kingdom), Sir William McKell (Australia), Mr. Justice Abdul Hamid (Pakistan), and Chief Justice B. Malik
(India). Suruhanjaya melawat dan memungut pandangan pada bulan Mei 1956.

Kedatangan Suruhanjaya ini meningkatkan lagi perasaan perkauman di antara penduduk-penduduk keturunan Melayu dan bukan Melayu terutama Cina kerana perbezaan kepentingan dalam tuntutan-tuntutan dan pandangan-pandangan mereka mengenai beberapa isu perlembagaan. Perikataan pada mulanya ingin menghantar satu memoranda juga menghadapi masaalah kerana tekanan-tekanan daripada pihak-pihak tertentu dalam kalangan organisasi-organisasi masing-masing: UMNO daripada masyarakat Melayu; MCA dengan masyarakat Cina dan MIC dengan masyarakat India.

Dewan-dewan perniagaan Cina dan persatuan-persauan sosial dan kebajikan Cina atau Hua Tuan menuntut supaya prinsip kewarganegaraan berasaskan jus soli yang ditentang kuat oleh masyarakat Melayu. Perikatan kemudian dapat bertolak-ansur mengenai isu ini yakni menerima prinsip jus soli tertangguh. Sesiapa yang dilahir pada atau selepas Merdeka akan diterima jadi warganegara secara otomatis.

Berdasarkan prinsip jus soli tertangguh ini hampir separoh daripada penduduk Cina yang membolehkan mereka menjadi pengundi dan memainkan peranan yang bermakna dalam kehidupan politik Tanah Melayu. Beberapa cadangan daripada UMNO atau masyarakat Melayu saperti kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan, agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa rasmi telah diterima dan menjadi sebahagian cadangan Perikatan. Perikatan menolak konsep dua kewarganegaraan.

Suruhanjaya Reid telah menyiapkan tugas merangka deraf perlembagaan Tanah Melayu pada Februari 1957. Deraf ini kemudian diteliti oleh sebuah Jawatankuasa Kerja tempatan yang mengandungi 11 ahli mewakili Sultan-sultan, Perikatan dan pegawai-pegawai British. Jawatankuasa Kerja membuat beberapa pindaan dan kemudian dibentangkan dalam Dewan Perundangan Persekutan pada 15 Ogos. 
Pada pukul 12 tengah malam 30 Ogos 1957 bendera Union Jack telah diturunkan dan Tunku Abdul rahman mengistiharkan kemerdekaan.

Rumusan

Tahun 1953 telah menyaksikan meningkatnya perjuangan politik yang berasaskan kerjasama antara kaum dan perjuangan ke arah kemerdekaan. Kumpulan-kumpulan politik dan gerakan nasionalis berbagai kaum bersama-sama menganjurkan dan menyertai persidangan antara kaum yang bertujuan meningkatkan keazaman bersama untuk menentukan dasar dan hala tuju politik Tanah Melayu.
Idea ini diambil dari resolusi Persidangan Sosialis Asia yang pertama di Rangoon yang diadakan pada 1953.
Mohamed Sopiee membawa pulang idea berkenaan yang menghasilkan Persidangan Kebangsaan atau National Conference dianjurkan oleh Menteri-menteri Besar dan IMP.
Idea ini juga menghasilkan persidangan kedua yang dikenali sebagai Konvensyen Nasional atau National Convention dianjurkan oleh Perikatan UMNO-MCA.. Pemimpin-pemimpin Melayu dan Cina sebagai diwakili oleh UMNO dan MCA telah berunding dan mencapai kata sepakat dalam menangani masalah hubungan kaum dan merapatkan kerjasama antara mereka.
Hasil daripada perbincangan dan pemikiran melalui pertemuan tidak formal UMNO dan MCA berjaya menganjurkan Konvensyen Nasional yang membuktikan kepada British bahawa Tanah Melayu telah bersedia untuk berdiri sendiri dan bersatupadu untuk membina sebuah negara bangsa baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia.

Mupok Aku

Comments :

0 comments to “ Perikatan UMNO-MCA, Konvensyen Nasional dan Tuntutan Pilihanraya Persekutuan 1955 ”

Post a Comment

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Chitika

BlogTopsites

Politics Blogs - Blog Top Sites

MyBlogLog

Google Rank

Alexa Ranking

Technorati

BlogSearch Engine

BlogRanking

Politics Blogs - Blog Rankings